MEDIA APPEARANCE – BERITAN HARIAN 03/11/2011

 

 

After the Malaysian Young Female Entrepreneur Forum 2010, a few days later, a friend rang me up and informed me that I was featured in Beritan Harian.

Here  you go to share the content of the write up with you.

 

 

 

 


Tiada jalan mudah gapai kejayaan

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/11/03

Perlu ada disiplin, kesungguhan disertai keyakinan

SUASANA dalam dewan besar pada Forum Usahawan Wanita Muda Malaysia (MYFREN 2010) menempatkan kira-kira 200 hadirin, sunyi sepi. Masing-masing bagaikan terpaku mendengar tiga wanita muda, hebat berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan berkongsi kisah.

Dua beradik yang juga Pengasas Syarikat Platinum Wealth Advisor, The Millionaires Sisters, Nor Akmar dan Aida Nurlin Hanif serta Pengurus Besar True North Sdn Bhd, Candice Lee, rancak berbicara mengenai halangan serta cabaran sejak bergelar usahawan berjaya mencuri tumpuan.

Jika dilihat dari luaran, mereka sama saja seperti wanita muda lain yang cantik bergaya dan bercita-cita tinggi. Membezakan mereka dengan yang lain, perspektif terhadap kejayaan dan masa depan. Berbeza bidang, tetapi persamaan hingga maju ke puncak jaya ialah positif terhadap cabaran mendatang.

Bak kata Nor Akmar, segala bidang ditempuhi pasti ada cabaran perlu diharungi, justeru bergantung kepada penerimaan serta bagaimana bijak individu menangani dan bukan mengambil pendekatan memikirkan kesan negatif semata-mata kerana ia boleh memakan diri.

“Bagi saya, semua wanita boleh berjaya tetapi bergantung kepada tahap pemikirannya. Kalau wanita itu rasa ingin berjaya, dia mesti ada semangat untuk maju ke depan. Kalau wanita itu sering memikirkan kesan negatif atau memikirkan kalau berlaku itu dan ini, sampai bila pun dia akan tetap berada dalam situasi sama,” katanya.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana berasal dari Ipoh, Perak, Akmar berkata, latar belakang keluarga sederhana, mendorongnya dirinya untuk merubah nasib keluarga di kampung kepada kehidupan jauh lebih baik.

Berhijrah ke Kuala Lumpur berbekalkan ijazah kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom (UK) pada 1999 beliau memulakan perniagaan pada usia 23 tahun.

Akmal berkata, orang selalu bertanya kepada dirinya, apakah yang membuatkan beliau ada keberanian untuk terjun dalam bidang yang tidak diketahui untung nasibnya apatah lagi berlainan bidang.

“Jawapan saya mudah, ‘layan’ saja apa cabaran yang akan lalu depan mata. Bukan bererti saya mengikut saja, sebaliknya apabila ada halangan, kita mesti bijak untuk mengendalikannya. Pada saya setiap sesuatu pasti ada pasang surutnya. Semua benda pasti berubah. Masa, penerimaan orang dan sebagainya, tetapi kita mesti tahu untuk mengendalikannya, bukan hanya menyerah dan menyesali.

“Selagi kita mempunyai etika yang kuat dalam diri, saya pasti bagaimanapun rentak pasaran ketika itu, kita boleh hadapi dengan jaya,” katanya yang membabitkan diri dalam perniagaan saham amanah dan insurans pada slot ‘Make Money with Money’.

Adik Nor Akmar, yang lebih mesra dengan panggilan Aida menyatakan semangat untuk berjaya di usia muda diperoleh atas kesungguhan kakaknya itu. Lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Aktuari itu mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan saham amanah ketika masih menuntut di universiti.

“Setiap hari saya perlu menyediakan dua pakaian, satu untuk ke kuliah dan satu lagi untuk bekerja. Saya bangun jam 5 pagi setiap hari sebab kalau memulakan hari lewat, banyak benda yang kita tidak dapat lakukan dengan sempurna,” katanya yang mengakui kesabaran menjadi nakhoda untuk dirinya dua beradik mengemudi ke tengah laut lepas hingga bertahan sampai kini.

Tambah Nor Akmar, dalam perniagaan yang diceburi mereka, bukan kita perlu tahu cakap atau tidak tahu cakap, yang penting berani dan yakin serta tahu apa yang dibuat.

“Kalau kita yakin dan bersangka baik dengan pelanggan, sudah pasti kita berjaya. Bayangkan, kalau kita tidak yakin, ia mungkin tidak terpancar melalui tutur kata, tetapi pelanggan tahu menerusi sinar mata kita. Saya percaya, apabila kita jujur dan menjadi diri sendiri, pelanggan akan lebih mempercayai kita,” katanya, yang tidak menafikan wanita lebih mudah berjaya dalam bidang diceburinya itu, lantaran daya pujuk dan semangat tinggi dimiliki golongan hawa itu.

Menyifatkan Malaysia bagai lombong emas, Lee wanita kelahiran Singapura, tidak segan silu menyatakan turut mendapat manfaat daripada kebaikan kerajaan Malaysia memberi peluang kepadanya untuk membina perniagaan di ibu kota.

Lee berkata, di Singapura banyak halangan untuk dirinya membina perniagaan, lantas berpaling ke Malaysia untuk mencuba nasib.

“Walaupun kita berjiran , budaya kita berlainan tetapi saya tidak menjadikan ia halangan sebaliknya tetap mencuba dan berjaya. Kalau saya boleh, kenapa tidak anak-anak Malaysia? Saya fikir anak-anak muda di negara ini perlu memanfaatkan geran serta peluang perniagaan disediakan kerajaan untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan. Saya percaya bila kita berusaha bersungguh-sungguh, sudah pasti kita akan memperoleh kejayaan,” katanya.

Pada Lee, pokok pangkal kejayaan ialah disiplin diri. Lee berkata, setiap orang mempunyai 24 jam sehari, tetapi perlu ada jadual untuk memaksimumkan potensi diri. Lee berkata, beliau ada jadual tersusun yang diikutinya setiap hari bagi memastikan dia tidak tercicir satu pun daripadanya sama ada untuk manfaat diri serta perniagaannya.

“Saya bangun tiap hari jam 5.30 pagi. Jam 6 pagi saya sudah berada di gimnasium dan pastikan akan berlari sejauh lapan kilometer sehari. Jam 7 hingga 8 pagi, saya membaca dan memulakan tugas jam 9 pagi. Pada saya kalau kita tidak melakukan kerja dengan teratur dan berjadual, kita sendiri yang akan terkejar-kejar nanti,” katanya yang turut terbabit dalam dunia pengurusan dan pelaburan.

Jelas disiplin boleh membawa individu ke mercu kejayaan. Biarpun pada peringkat permulaan mendepani cabaran dan halangan tetapi apabila yang dicita-citakan berjaya dicapai, segala penat lelah itu, berlalu begitu saja.

Seperti kata Nor Akmar, sesiapa pun tidak harus rasa terikat dengan latar belakang pelajaran mereka. Hanya kerana belajar dalam satu bidang, tidak semestinya tidak boleh berjaya dalam bidang lain yang diminati seperti perniagaan. Prinsip untuk berjaya dalam perniagaan ialah semangat yang kental dan motivasi yang tinggi. Selain itu, sikap mudah belajar, ada semangat berterusan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam amat penting.

 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tiadajalanmudahgapaikejayaan/Article/print_html

 

 

One Response to “MEDIA APPEARANCE – BERITAN HARIAN 03/11/2011”

  1. Майя Says:

    Thanks ! Gut gut

Leave a Reply